23 Oktober, 2009

3 Hari di Hospital ampang




AlHamdulillah lega rasanya isteri kesayangan saya sudah keluar dari wad. Saya terpaksa balik awal untuk menguruskan isteri saya yang dimasukkan ke dalam wad 4D di Hospital Ampang, Selangor. Beliau dimasukkan ke dalam wad kerana baby kami kurang bergerak di dalam kandungan ke tahap paling minimum. Alhamdulillah...setelah dirawat dan dijaga oleh Doktor yang bertugas baby kembali aktif.

Kelam Kabut

Saya pada awalnya agak kelam kabut kerana isteri kena tahan di wad kerana mungkin pertama kali bertungkus lumus berulang alik dari tempat kerja ke Hospital Ampang. Kami pada awalnya beranggapan perkara biasa bila bayi dalam kandungan tidak aktif. Isteri saya tekun menanda pergerakan baby setiap hari di dalam kertas yang diberi oleh jururawat yang memeriksanya setiap minggu.

Setelah tiba di Klinik Kesihatan Ampang, isteri saya menuju ke bilik rawatan seperti biasa. apabila tiba di bilik rawatan untuk diperiksa maka, isteri saya diarah supaya segera ke Hospital Ampang untuk diperiksa oleh Dr sakit puan.Setelah diperiksa, Dr yang bertugas mengarahkan isteri saya supaya dimasukkan ke dalam wad untuk pemeriksaan rapi.

Hati saya geluh resah bila isteri saya menelefon saya yang menyatakan beliau kena tahan di dalam wad.

Nasihat saya kepada para ibu dan bakal bapa

1. Bersegeralah berjumpa Dr apabila isteri anda mengadu baby dalam kandungan beliau tidak aktif bergerak kerana kelewatan anda berbuat demikian akan menyebabkan baby dalam kandungan akan lemas

2. fahamilah cara menanda pergerakan baby. Bertanyalah kepada doktor yang merawat isteri anda. Mungkin nasihat Jururawat yang baru tidak tepat.
3. Sikap ingin tahu mengenai tanda-tanda bersalin amat digalakkan oleh para suami mengetahuinya.

11 Oktober, 2009

Selamat Menyambut Ulang Tahun Perkahwinan Pertama Buatmu Sayang

gambar kenangan 11 okt. 2008

Alhamdulillah segala pujian saya panjatkan pada Allah kerana telah dipanjangkan umur bersama isteri yang dicintai kerana rahmatNya.Namun 11 Oktober 2008 bersamaan 11 Syawal 1429 merupakan detik bersejarah bila sah menjadi seorang suami. Banyak ujian dan cabaran yang saya tempuhi semasa majlis kami dilaksanakan.




Sejarah yang tidak dapat dilupakan



Masih segar dalam ingatan saya, saya mengharungi air banjir samasa dalam perjalanan ke rumah isteri saya. Saya sepatutnya tiba di rumah isteri saya jam 2 ptg, tapi tiba-tiba Allah uji saya sekeluarga. Saya dan keluarga ( abah dan 3 orang adik saya) tiba di rumah isteri saya jam 8.00 malam. Walaupun sebak melihat isteri saya, namun saya kuatkan semangat untuk bertemu dengannya. Alhamdulillah banyak hikmah disebalik ujian yang menimpa kami.Saya bersyukur dan berterima kasih kepada jiran dan sahabat-sahabat saya kerana sanggup hadir mengiringi saya ke rumah pengantin perempuan.

Pengalaman Mengharungi Air Banjir

Saya terpaksa menaiki bot tentera sejauh 300 meter seterusnya menaiki teksi " kereta sewa" sehingga Kg Nibong dan perjalanan kami tersekat kerana arus deras. Kemudian saya dan abah saya terpaksa menahan " Pajero Pacuan Empat Roda" kerana hanya kenderaan berat sahaja yang boleh melalui jalan tersebut. Kami hanya ditumpangkan 5KM sahaja. Kami solat Asar berjamaah namun saya hanya mampu berdoa agar kami dipermudahkan segala..

Selepas solat Asar saya menahan beberapa kereta namun kami menemui kegagalan. Namun hampir 1 jam kami menunggu kenderaan namun tiada kenderaan yang ingin menumpangkan kami. Alhamdulillah selang beberapa minit ada sebuah kancil yang ingin menghantar saya dan abah serta adik-adik ke kediaman lama kami ke Pondok Lubuk Tapah. kami tiba di rumah jam 7.30 malam dan sebaik sahaja selepas solat rombongan saya bertolak ke Rumah pengantin perempuan. Sedih bercampur gembira saya dibuatnya,Namun kesyukuran pada Allah tetap saya panjatkan kerana diberi keizinan Allah sampai juga saya ke rumah isteri walaupun jam 8.30 malam. Inilah peristiwa yang bersejarah dalam hidup saya.

Buat Isteri ku tersayang..
Terima kasih buatmu kerana menerima daku seadanya

Syukur ku panjatkan padamu Ya Allah Engkau Izinkan kami bersatu hati mencari RedhaMU



Ya Allah bantulah daku dalam mendidik isteri dan zuriat-zuriatku yang bakal menyambung perjuangan ini.



ku pohon padaMu bantulah daku dalam menguruskan bahtera untuk menuju RedhaMu Ya Allah.



Sabda Nabi S.A.W : sebaik - baik isteri adalah jika kamu memandangnya membuat hatimu tenang, jika kamu perintah dia mentaatimu,dan jika kamu tinggal maka dia akan menjaga untukmu harta dan dirinya,



mudah mudahan dikau wahai isteriku termasuk dikalangan mereka yang dinaugi Arasyhnya di akhirat kelak.

Allahumma ina nas aluka Redhaka wal Jannah,,Ya Allah aku memohon RedhaMU dan SyurgaMu.
Ameen Ya Rabbal 'Alamin..

08 Oktober, 2009

Melupakan Keburukan dan Mengingati Kebaikan sahabat

sahabat-sahabat alhawari







Salam ukhuwwah buat sahabat yang mengenali saya semua.....



SAHABAT...


Satu ungkapan yang senang disebut melalui bibir kita namun perlaksanaan dan pencarian seorang sahabat amatlah sukar dicari dan payah diganti jika kehilangan mereka.Tahukah kita bahawa bersahabat di atas dasar cinta dan takutkan Allah mendapat hak yang istimewa di sisi Allah Azzawajalla. Persahabatan kerana Allah adalah persahabatan yang melahirkan sifat yang terpuji kerana konsepnya adalah mendahulukan kepentingan orang lain daripada kepentingan diri kita sendiri, menjaga hubungan persahabatan sehingga tidak ada hati- hati yang terguris, melupkan keburukan sahabat dan mengingati kebaikan sahabat kita. namun pada hari ini,dalam dunia moden ini, sukar untuk kita temui sahabat sejati..namun apa yang ada kawan makan kawan..

Sejarah telah membuktikan bahwa Rasulullah s.a.w mendidik para Muhajirin dan Ansor bersaudara kerana aqidah Islam. Namun pengorbanan sahabat Ansor sangat hebat sehingga sanggup mengorbankan harta benda mereka demi para sahabat dari kalangan muhjirin mekkah. Bayangkan sahabat-sahabatku jika ada golongan yang sebegini pada zaman hari ini, nescaya tidak kedengaran di telinga kita pelbagai perkara mungkar.
Pesanan ..
1. Bersahabatlah saudara kerana mengharap keredhaan Allah, kerana Nikmat Ukhuwwah kerana Allah amat berharga.
2. Ingatilah sahabat anda ketika mana anda sedang berdoa dan bermunajat kepada Allah Azzawajjala.
3. Kawan boleh dicari tetapi sahabat sukar dicari .
4. Bersyukurlah jika anda mempunyai sahabat yang sentiasa berdoa kepada anda.


01 Oktober, 2009

Syawal Yang Diberkati: Apa Yang Perlu Di ingati


Syawal Yang Diberkati: Apa Yang Perlu Di ingati

Saudaraku yang dirahmati Allah
Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketiga-tiga peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w bersama para sahabat ini telah mencatatkan suasana, keputusan dan pengajaran yang berbeza untuk sama-sama kita renungi. Semoga dengan menyebut peristiwa bersejarah ini dapat menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan nafsu dalam diri dan musuh nyata dari kalangan kuffar dan munafik. Terutama kita baru sahaja selesai menjalani tarbiah dalam menyuburkan jihad jiwa dan tubuh melalui ibadat puasa dan jihad harta melalui zakat fitrah. Di sini suka dikupaskan tentang beberapa pengajaran yang mesti diambil daripada ketiga-tiga peperangan tersebut.


PEPERANGAN UHUD


Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah telah menyaksikan bagaimana tentera kafir Quraisy yang ingin membalas dendam di atas kekalahan dalam peperangan Badar setahun sebelum itu di mana mereka keluar dengan jumlah 3000 orang. Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan tetapi akibat kumpulan pemanah yang telah melanggar perintah nabi agar jangan meninggalkan tempat mereka walau apa yang berlaku. Tentera pemanah ini menganggap tentera Islam telah menang yang menyebabkan mereka turut serta memungut harta rampasan perang yang ditinggal musuh sehingga tentera berkuda musuh yang diketuai oleh Khalid Ibnu Walid mengambil peluang itu untuk melakukan serangan mengejut sehingga berlakunya kekalutan. Ini ditambah lagi dengan serangan saraf bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat.


Akhirnya ada sahabat yang terpandang diri Rasulullah s.a.w yang masih hidup lalu melaungkannya sehingga membangkitkan semula semangat juang tentera Islam di mana selepas itu baginda bersama 30 orang yang lain menuju ke suatu teluk di Bukit Uhud untuk mengatur perancangan perang yang baru.


Pada peringkat kedua ini tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib yang digelar Asadullah atau Singa Allah. Namun pada peringkat ketiga tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Kekalahan pada peringkat kedua dalam peperangan Uhud ini akibat melanggar perintah nabi s.a.w selaku pemimpin serta rasa terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya pertautan hati dengan Allah.


PEPERANGAN AHZAB


Peristiwa seterusnya ialah Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah di mana setiap kali tibanya hari raya kita sentiasa laungkan kalimah وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab Peperangan Ahzab yang bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh. Peperangan ini berlaku selepas penghalauan Yahudi Bani Nadhir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah setelah mereka cuba membunuh nabi. Tentera bersekutu kuffar seramai 10 ribu orang yang tiba ke tempat peperangan merasa terkejut apabila tiba berdekatan dengan kubu parit yang digali oleh tentera Islam memandangkan bangsa arab sebelum ini tidak pernah berhadapan dengan cara itu dalam peperangan.


Tentera Islam yang hanya berjumlah 3 ribu orang terus bertahan di sebelah yang lain di mana pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Dalam peperangan ini hanya 6 orang tentera Islam gugur syahid manakala 10 orang musyrikin dibunuh. Akhirnya Allah datangkan kemenangan kepada tentera Islam dengan ribut pasir yang menyebabkan tentera musuh berundur disamping berlakunya kacau-bilau di antara mereka apabila pengintip yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w berjaya memecah belahkan kepercayaan antara tentera Ahzab. Kemenangan yang dicapai kerana kesatuan antara tentera Islam bermula daripada menggali parit lagi ketika sedang menunaikan ibadat puasa Ramadhan. Ini ditambah dengan ikatan hati mereka kepada Allah disamping perancangan yang lain sehingga Allah datangkan pertolongan dan kemenangan


PEPERANGAN HUNAIAN


Seterusnya peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Bilangan tentera musuh antara 20 hingga 30 ribu orang manakala tentera Islam pimpinan Rasulullah s.a.w berjumlah 12 ribu orang iaitu 10 ribu dari Madinah dan 2 ribu dari Mekah telah keluar menuju ke lembah Hunain.


Peperangan ini menyaksikan bagaimana pada peringkat pertama tentera Islam hampir kalah akibat diserang dari pelbagai penjuru oleh musuh ditambah dengan serangan saraf bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Ketika suasana yang kacau bilau ini lalu Rasulullah s.a.w melaung suara bagi membangkitkan kembali semangat jihad tentera Islam sehingga baginda bersama 200 tentera yang terus berjuang bukan sahaja berjaya mengalahkan tentera musuh yang ramai malah berjaya mengepung musuh di Taif.


Akhirnya Rasulullah s.a.w tidak melakukan sesuatu kepada musuh yang dikepung itu sebaliknya berdoa kepada Allah agar mereka memeluk Islam. Peperangan ini menyaksikan bagaimana tentera Islam hampir kalah pada peringkat pertama kerana mereka begitu yakin akan menang dengan jumlah tentera yang ramai berbanding peperangan sebelum ini, pertautan hati dengan Allah begitu kurang kerana terlalu memikirkan harta rampasan perang yang bakal diperolehi disamping ramai di kalangan tentera ialah daripada golongan yang baru memeluk Islam di mana keimanan dan semangat jihad mereka masih lemah. Namun Allah tetap datangkan kemenangan kerana masih ada tentera Islam yang tinggi semangat jihad serta pertautan hati mereka dengan Allah


Kesimpulannya


Melalui ketiga-tiga peperangan tersebut maka kita patut sedar bahawa antara perkara besar yang menjadi syarat kepada datangnya anugerah kemenangan atau ujian kekalahan ialah pertautan hati kita dengan Allah ketika berhadapan dengan musuh dari kalangan kuffar dan munafik, ketaatan kepada pemimpin pada perkara yang tidak bercanggah dengan Islam serta tidak terpesona dengan godaan kemewahan dunia hasil perjuangan menegakkan Islam.


Contohilah semangat jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta para pejuang Islam ketika kita berhadapan dengan kekejaman tentera bersekutu Kuffar yang diketuai zionis yahudi yang memperkudakan Amerika dan Britain serta sekutu jahat mereka pada hari ini. Kita juga berdoa kepada Allah agar kebanyakan pemimpin negara umat Islam yang turut bersekongkol dengan kuffar dalam memerangi kebangkitan Islam supaya kembali bertaubat dan bersatu untuk menghadapi musuh bukannya terus bersatu dengan musuh untuk memerangi saudara seagama. Jadikanlah diri kita sebagai pendokong perjuangan Islam yang sanggup berkorban apa sahaja untuk agama samada kita menjadi pemimpin atau orang bawahan, kaya atau miskin, senang atau susah, tua atau muda.


Yakinlah bahawa Islam pasti menang walau pun ia ditentang. Islam semakin subur ketika kekufuran semakin kabur, Islam semakin dijulang ketika kekufuran semakin hilang, Islam semakin hampir kepada kemenangan ketika kekufuran mula hampir kepada kehancuran.


" Tegakkalah Negara Islam Dalam Diri Anda Sebelum Anda Teggakkan Negera Islam Di Bumi Ini"


--al hawari-- ampang