01 Oktober, 2009

Syawal Yang Diberkati: Apa Yang Perlu Di ingati


Syawal Yang Diberkati: Apa Yang Perlu Di ingati

Saudaraku yang dirahmati Allah
Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketiga-tiga peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w bersama para sahabat ini telah mencatatkan suasana, keputusan dan pengajaran yang berbeza untuk sama-sama kita renungi. Semoga dengan menyebut peristiwa bersejarah ini dapat menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan nafsu dalam diri dan musuh nyata dari kalangan kuffar dan munafik. Terutama kita baru sahaja selesai menjalani tarbiah dalam menyuburkan jihad jiwa dan tubuh melalui ibadat puasa dan jihad harta melalui zakat fitrah. Di sini suka dikupaskan tentang beberapa pengajaran yang mesti diambil daripada ketiga-tiga peperangan tersebut.


PEPERANGAN UHUD


Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah telah menyaksikan bagaimana tentera kafir Quraisy yang ingin membalas dendam di atas kekalahan dalam peperangan Badar setahun sebelum itu di mana mereka keluar dengan jumlah 3000 orang. Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan tetapi akibat kumpulan pemanah yang telah melanggar perintah nabi agar jangan meninggalkan tempat mereka walau apa yang berlaku. Tentera pemanah ini menganggap tentera Islam telah menang yang menyebabkan mereka turut serta memungut harta rampasan perang yang ditinggal musuh sehingga tentera berkuda musuh yang diketuai oleh Khalid Ibnu Walid mengambil peluang itu untuk melakukan serangan mengejut sehingga berlakunya kekalutan. Ini ditambah lagi dengan serangan saraf bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat.


Akhirnya ada sahabat yang terpandang diri Rasulullah s.a.w yang masih hidup lalu melaungkannya sehingga membangkitkan semula semangat juang tentera Islam di mana selepas itu baginda bersama 30 orang yang lain menuju ke suatu teluk di Bukit Uhud untuk mengatur perancangan perang yang baru.


Pada peringkat kedua ini tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib yang digelar Asadullah atau Singa Allah. Namun pada peringkat ketiga tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Kekalahan pada peringkat kedua dalam peperangan Uhud ini akibat melanggar perintah nabi s.a.w selaku pemimpin serta rasa terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya pertautan hati dengan Allah.


PEPERANGAN AHZAB


Peristiwa seterusnya ialah Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah di mana setiap kali tibanya hari raya kita sentiasa laungkan kalimah وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab Peperangan Ahzab yang bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh. Peperangan ini berlaku selepas penghalauan Yahudi Bani Nadhir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah setelah mereka cuba membunuh nabi. Tentera bersekutu kuffar seramai 10 ribu orang yang tiba ke tempat peperangan merasa terkejut apabila tiba berdekatan dengan kubu parit yang digali oleh tentera Islam memandangkan bangsa arab sebelum ini tidak pernah berhadapan dengan cara itu dalam peperangan.


Tentera Islam yang hanya berjumlah 3 ribu orang terus bertahan di sebelah yang lain di mana pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Dalam peperangan ini hanya 6 orang tentera Islam gugur syahid manakala 10 orang musyrikin dibunuh. Akhirnya Allah datangkan kemenangan kepada tentera Islam dengan ribut pasir yang menyebabkan tentera musuh berundur disamping berlakunya kacau-bilau di antara mereka apabila pengintip yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w berjaya memecah belahkan kepercayaan antara tentera Ahzab. Kemenangan yang dicapai kerana kesatuan antara tentera Islam bermula daripada menggali parit lagi ketika sedang menunaikan ibadat puasa Ramadhan. Ini ditambah dengan ikatan hati mereka kepada Allah disamping perancangan yang lain sehingga Allah datangkan pertolongan dan kemenangan


PEPERANGAN HUNAIAN


Seterusnya peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Bilangan tentera musuh antara 20 hingga 30 ribu orang manakala tentera Islam pimpinan Rasulullah s.a.w berjumlah 12 ribu orang iaitu 10 ribu dari Madinah dan 2 ribu dari Mekah telah keluar menuju ke lembah Hunain.


Peperangan ini menyaksikan bagaimana pada peringkat pertama tentera Islam hampir kalah akibat diserang dari pelbagai penjuru oleh musuh ditambah dengan serangan saraf bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Ketika suasana yang kacau bilau ini lalu Rasulullah s.a.w melaung suara bagi membangkitkan kembali semangat jihad tentera Islam sehingga baginda bersama 200 tentera yang terus berjuang bukan sahaja berjaya mengalahkan tentera musuh yang ramai malah berjaya mengepung musuh di Taif.


Akhirnya Rasulullah s.a.w tidak melakukan sesuatu kepada musuh yang dikepung itu sebaliknya berdoa kepada Allah agar mereka memeluk Islam. Peperangan ini menyaksikan bagaimana tentera Islam hampir kalah pada peringkat pertama kerana mereka begitu yakin akan menang dengan jumlah tentera yang ramai berbanding peperangan sebelum ini, pertautan hati dengan Allah begitu kurang kerana terlalu memikirkan harta rampasan perang yang bakal diperolehi disamping ramai di kalangan tentera ialah daripada golongan yang baru memeluk Islam di mana keimanan dan semangat jihad mereka masih lemah. Namun Allah tetap datangkan kemenangan kerana masih ada tentera Islam yang tinggi semangat jihad serta pertautan hati mereka dengan Allah


Kesimpulannya


Melalui ketiga-tiga peperangan tersebut maka kita patut sedar bahawa antara perkara besar yang menjadi syarat kepada datangnya anugerah kemenangan atau ujian kekalahan ialah pertautan hati kita dengan Allah ketika berhadapan dengan musuh dari kalangan kuffar dan munafik, ketaatan kepada pemimpin pada perkara yang tidak bercanggah dengan Islam serta tidak terpesona dengan godaan kemewahan dunia hasil perjuangan menegakkan Islam.


Contohilah semangat jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta para pejuang Islam ketika kita berhadapan dengan kekejaman tentera bersekutu Kuffar yang diketuai zionis yahudi yang memperkudakan Amerika dan Britain serta sekutu jahat mereka pada hari ini. Kita juga berdoa kepada Allah agar kebanyakan pemimpin negara umat Islam yang turut bersekongkol dengan kuffar dalam memerangi kebangkitan Islam supaya kembali bertaubat dan bersatu untuk menghadapi musuh bukannya terus bersatu dengan musuh untuk memerangi saudara seagama. Jadikanlah diri kita sebagai pendokong perjuangan Islam yang sanggup berkorban apa sahaja untuk agama samada kita menjadi pemimpin atau orang bawahan, kaya atau miskin, senang atau susah, tua atau muda.


Yakinlah bahawa Islam pasti menang walau pun ia ditentang. Islam semakin subur ketika kekufuran semakin kabur, Islam semakin dijulang ketika kekufuran semakin hilang, Islam semakin hampir kepada kemenangan ketika kekufuran mula hampir kepada kehancuran.


" Tegakkalah Negara Islam Dalam Diri Anda Sebelum Anda Teggakkan Negera Islam Di Bumi Ini"


--al hawari-- ampang

Tiada ulasan: