06 Julai, 2009

Dilema Sahabat: Kisah kura-kura dan Tupai


Oleh : Ust pahrol..



Ini kisah penuh iktibar di sebalik ikatan persahabatan yang akrab antara tupai dan kura-kura. Perkenalan bermula sejak kura-kura memakan buah-buah hutan yang dijatuhkan oleh tupai ke dalam air sebuah sungai yang mengalir perlahan di sebuah hutan. Mulai hari itu hubungan keduanya semakin mesra. Setiap hari keduanya bertemu dan berbual di tebing sungai. Dan kemesraan yang semakin bertambah itu mula berlarutan untuk jangkamasa yang panjang. Sayangnya keakraban persabahatan dengan situpai menyebabkan kura-kura mengabaikan tanggungjawab terhadap isterinya.Kura-kura mula pulang lewat dan keluar awal daripada tempat kediamannya. Isterinya selalu ditinggalkan keseorangan. Keasyikannya kura-kura melayan situpai mula menimbulkan kecemburuan dan kebencian di hati isteri kura-kura. Diam-diam isteri kura-kura bertekad untuk memisahkan suaminya dengan tupai.




Pada satu ketika seperti yang telah dirancangkan, isteri kura-kura pura-pura jatuh sakit. Badannya dilakonkan agar kelihatan lemah-lesu dan dengan sengaja makanan yang diberikan kepadanya tidak dijamah. Puas diiktihar rawatan dengan berbagai-bagai ubat, namun isteri kura-kura tidak juga sembuh. Kura-kura susah hati dan sedikit-sebanyak mula memberi perhatian yang lebih terhadap isterinya. Melihat keadaan itu, isteri kura-kura yakin bahawa rancangannya sudah separuh berjaya. Suaminya sudah mula terperdaya. Maka tinggal separuh lagi daripada keseluruhan perancangan liciknya ingin disempurnakannya. Selanjutnya isteri kura-kura dengan tipu muslihatnya pun berkata, “aku ingin katakan bahawa yang akan dapat menyembuhkan sakitku ini hanyalah dengan memakan hati tupai!” Terkejut, kura-kura mendengarnya. Mana nak dicarinya hati tupai?




Tiba-tiba dalam kebingungannya itu ia teringat akan sahabat karibnya tupai. Ya, sudah terpaksa… sahabat akrabnya itu terpaksa dikorbankan. Demi kesihatan isterinya kura-kura terpaksa mengorbankan kawannya. Begitulah tekad hati kura-kura. Walaupun agak keberatan pada mulanya, tetapi akhirnya kura-kura mula mengatur rancangan. Seperti biasa, kura-kura pun menemui sahabatnya situpai. Kata kura-kura, “telah lama kita bersahabat, tetapi saya tidak pernah membawa awak bersiar-siar untuk melihat keseluruhan kawasan sungai ini. Apakata kalau saya membawa awak bersiar-siar pada hari ini?” Wah, apalagi situpai dengan gembiranya menyambut baik tawaran sahabat karibnya tanpa mengesyaki sebarang niat buruk disebaliknya. Lalu tupaipun melompat di atas badan kura-kura dan kura-kura pun mula berenang ke tengah sungai. Sebaik sahaja sampai ditengah-tengah sungai barulah kura-kura mula bercerita tentang keadaan isterinya yang sedang sakit.




Dan akhirnya menyatakan dengan terus-terang bahawa ubat bagi menyembuhkan sakit isterinya ialah hati tupai. Terkejut tupai mendengarnya dan tahulah dia bahawa tujuan sebenar kura-kura membawanya bersiar-siar adalah untuk membunuh dan mengambil hatinya untuk diberikan kepada isteri kura-kura. Makin lama pergerakan mereka semakin jauh ke tengah sungai. Tupai mula berfikir untuk menyelamatkan diri. Tak lama kemudian dia mula menangis. Kura-kura hairan dan bertanya mengapa tupai menangis. Lalu tupai menyatakan rasa simpatinya terhadap isteri kura-kura dan kesediaan menyerahkan hatinya sebagai ubat sepertimana yang dihajatkan. “Tetapi… aku sedih kerana buat masa ini hatiku telah ku ditinggalkan di rumah.




Jadi kalau kau inginkannya, kau mestilah menghantar aku kembali ke tebing sungai untuk aku mengambilnya.” Maka sikura-kura itupun membawa semula tupai ke tebing sungai dan dengan cepat tupai meloncat ke atas pokok kediamannya lalu berkata, “wahai kura-kura mulai hari ini aku tidak mahu lagi bersahabat denganmu. Tak sangka begitu sekali kejamnya hatimu untuk membunuh sahabat sendiri. Selamat tinggal!” Kini tahulah kura-kura-kura bahawa ia telah ditipu oleh situpai. Dengan sedih ia kembali ke rumah untuk menemui isterinya.




Ya, hati isterinya belum tentu dapat dimenanginya semula… tetapi yang pasti ia sudah kehilangan sahabat karibnya. Begitulah kesudahannya kisah yang menjadi gelanggang iktibar kali ini. Secara tidak lansung kisah ini boleh menggambarkan konflik yang sering terjadi pada seseorang individu yang sedang berdepan dengan dilema antara sahabat dan isteri yang memaksanya memilih antara perkahwinan atau persahabatan. Masih relevankah persoalan yang diketengahkan ini?




Jawabnya, ya. Justeru kini manusia kekadang tidak dapat mengimbangi antara kepentingan isteri atau suami dengan sahabat-sahabat. Dan kisah ini juga boleh dijadikan pembayang pada pertembungan antara kejayaan menguruskan rumah-tangga dan juga organisasi. Percayakah anda kalau dikatakan bahawa ramai manusia dalam era ICT ini terperangkap dalam dilema seperti yang dinukilkan dalam kisah kura-kura dan tupai ini? Ada kalangan yang terlalu memberi tumpuan kepada sahabat samada sahabat seorganisasi atau kebetulan mempunyai minat yang sama sehingga mengabaikan isteri di rumah.




Kawan lebih diutamakan daripada isteri hingga siisteri tinggal kesepian atau keseorangan untuk menguruskan keluarga dan anak-anaknya di rumah. Sisuami lebih senang berbincang hal perniagaan, tugasan, hobi atau sekadar berbual kosong dengan kawan-kawan di luar rumah. Masa, tenaga dan perhatian lebih kepada kawan-kawan berbanding isteri. Bila bersama kawan ketawa-rianya meriah, tetapi bila bersama isteri muka masam mencuka bagai dilanda masalah. Mengapa ada suami yang boleh memberi masa berjam-jam untuk bermain golf, memancing dan lain-lain aktiviti rekreasi tetapi begitu ‘tersiksa’ untuk mengorbankan masa sejam dua untuk bersama isteri dan anak-anak? Jawabnya, dalam aktiviti rekreasi itu suami akan bertemu kawan-kawan bukan menatap muka isteri. Jika bersama kawan, jiwa sisuami terasa ‘relaks’, santai dan bebas… tetapi bila bersama isteri ada sahaja masalah yang hendak didengar, diberi perhatian dan diselesaikan.




Lalu sebagai langkah ‘escapeism’ ramai para suami meniru langkah kura-kura yang hidupnya dirasakan tenang apabila bersama tupai, berbual sambil makan-makan buahan hutan daripada menatap isteri yang berleter, sentiasa sibok dan risaukan hal-hal rumah-tangga. Bosan, marah, geram, kecewa dan lain-lain rasa negatif bersama keluarga di rumah menyebabkan para suami beralih ke luar rumah untuk bertemu dengan kawan-kawan.




Malah kini sudah menjadi suatu yang lumrah, ramai pengarah, pengurus dan para profesional yang berjaya dalam kariernya tetapi gagal dalam rumah-tangganya. Menurut kajian yang dibuat di Amerika, 90% CEO (ketua pengarah) syarikat-syarikat perniagaan yang paling berjaya dan ternama di dunia telah mengalami keruntuhan dalam rumah-tangga. Apakah ertinya semua ini? Seperti yang kita sedia maklum untuk berjaya dalam memimpin sesebuah syarikat, seorang CEO mestilah mendapat ketaatan, kerjasama, komitmen malah pengorbanan daripada seluruh ranting organisasi termasuk ahli lembaga pengarah, pengurus-pengurus, pegawai eksekutif, tenaga teknikal dan majoriti kakitangan sokongan bawahannya. Bayangkan sebuah syarikat perniagaan yang ternama di Amerika. Ia tentulah mempunyai modal berbilion-bilion dollar, beribu-ribu perkerja dan berbagai-bagai bidang kerja serta tugasan yang begitu kompleks dan rencam. Dan seorang CEO yang diktiraf berjaya tentunya dapat ‘mengusai’ semua elemen-elemen yang disebutkan tadi. Dan tentunya… malah pasti! dia selalu berada di samping sahabat-sahabat seorganisasinya untuk mendapat penguasaan itu. Namun, kata orang, semakin tinggi pokok yang kita naik, semakin kuat angin yang menggoyang. Setiap kejayaan, menuntut pengorbanan. Soalnya sekarang apakah yang dikorbankan itu lebih berharga nilainya daripada apa yang kita kejar? Berbaloikah kejayaan dalam menguruskan organisasi dibayar dengan kegagalan membina sebuah rumah-tanga yang bahagia?




Wajarkah mercu keuntungan dan nama didaki dengan cara memijak hak isteri dan anak-anak? Ya, kebanyakan para korporat dan profesional terkemuka gagal mengimbangi atau mensepadukan antara karier dan keluarga, antara organisasi dan rumah-tanga. Ertinya, mereka lebih efisen dan efektif bersama kawan-kawan berbanding dengan isteri dan anak-anak. Dan bila berdepan dengan suami yang sedemikian, tidak sedikit isteri yang bertindak seperti ‘isteri’ kura-kura dalam kisah ini. Mereka mula merancang strategi atau jalan keluar untuk menyelesaikan masalah. Mereka bertekad ingin memisahkan suami dengan kawan-kawan, syarikat serta kesibokannya. Lalu mereka merajuk, mengamuk ataupun memilih ‘jalan belakang’ untuk berdepan dengan suami yang mengabaikan rumah-tangga.




Para isteri yang begini akan membuat berbagai-bagai karenah supaya suaminya terikat kembali di rumah. Masalah yang kecil dibesarkan, yang besar apatah lagi. Mereka bersikap terlalu ‘dependent’ – yakni terlalu bergantung dengan suami. Sikap itu sengaja dibuat-buat untuk menarik perhatian suami agar kembali menumpukan kepada dirinya. Jalan salah yang dipilih oleh para isteri itu bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah yang sedia ada malah memburukkan lagi keadaan yang sedang berlaku. Krisis yang mereka cetuskan di rumah akan memberi kesan pada suami yang kemudiannya memanjangkan krisis itu ke pejabat atau premis perniagaan. Ada para suami yang berang dan marah-marah kepada para pekerja atau rakan setugasnya kerana marahkan isteri yang ‘meragam’ di rumah. Perlakuan negatif seperti marah-marah, murung dan dendam para suami yang berpunca daripada isteri di rumah akan memberi kesan buruk kepada organisasi di tempat dia bekerja. Prestasi kepimpinan, pengurusan dan kerjanya akan terjejas. Produktiviti dan kualiti kerjanya akan merosot. Kakitangan bawahan atau sebaya akan ‘lari’ manakala orang atasannya akan memarahinya. Lama kelamaan semua orang meninggalkannya. ‘Toxic people’ semacam itu akan dibenci oleh semua orang. Orang-orang ini bolehlah disifatkan seperti kura-kura yang merancang membunuh tupai. Tapi dalam kes ini, individu yang sedemikian seolah-olah ‘membunuh’ orang yang rapat dengannya, organisasi tempat ia bekerja dan dirinya sendiri.



Terjejas dengan ragam isteri di rumah, organisasi dan kawan-kawan pula yang menjadi mangsanya. Keadaan ini selalunya menimpa kepada mereka yang ‘kalah’ dengan ragam isteri. Tapi bagaimana bagi mereka yang ‘menang’? Walaupun karier dan profesyen mereka mungkin tidak terjejas, tetapi rumah-tangga mereka akan hancur. Strategi tidak ‘menjadi’ oleh para isteri yang cuba ‘mengembalikan’ suami kepada diri mereka dengan cara yang salah akan memberi kesan sampingan yang akan lebih memburukkan lagi keadaan. Sikap tidak ambil kisah, tidak endah dan tidak peduli oleh para suami akan tambah menyakitkan hati para isteri yang meragam itu. Mungkin mereka akan memilih cara yang sama… Yakni mereka juga akhirnya tidak endah dan tidak peduli terhadap para suami. Ya, kalau rajukan mereka tidak diperdulikan ertinya suami sudah tidak menyayangi mereka lagi, kan kata orang tua, ‘merajuk pada yang kasih?” Jadi apa lagi hendak di tunggu?


Mereka pun minta cerai atau kadangkala sanggup berlaku curang di belakang suami. Bayangkan kalau kura-kura buat tidak endah akan kesakitan yang dialami oleh isterinya atau tidak melayang lansung permintaan isterinya yang hendakkan hati tupai… Maka isteri kura-kura juga berkemungkin besar akan cabut meninggalkannya! Adalah wajar kita melihat persoalan ini dengan lebih tertib dan tepat. Kejayaan menguruskan rumah-tangga bersama isteri seharusnya perlu didahulukan sebelum mencapai kejayaan mengurusan organisasi bersama kawan-kawan. Ini kerana menurut pakar-pakar motivasi, “personal victory must come first before public victory.” Dalam Al Quran dan hadis jelas menunjukkan bahawa diri dan keluarga perlu diselamatkan terlebih dahulu sebelum menyelamatkan orang lain. Dari segi logik atau rasionalnya pun, sudah tentulah kemenangan di peringkat individu yang jauh lebih mudah perlu dicapai dahulu sebelum kemenangan di peringkat umum yang jauh lebih sukar. Dan atas ketertiban inilah Rasulullah telah berjaya dalam kepimpinan dan tugas kerasulannya. Nabi Muhammad saw adalah orang yang ceria bersama isteri-isteri dan keluarganya dan baginda juga individu yang sentiasa ceria bersama sahabat-sahabatnya.


Isteri-isteri baginda tidak pernah ‘cemburu’ melihat baginda akrab dengan sahabat-sahabatnya di luar rumah justeru mereka telah mendapat layanan, belaian, perhatian yang sempurna apabila baginda bersama-sama dengan mereka di rumah! Ketertiban sangat dipentingkan dalam Islam dan ini semua telah disusun mengikat aulawiyat (keutamaan) masing-masing. Ada hak diri, keluarga dan sahabat yang perlu ditunaikan mengikut susunan yang telah ditetapkan. Tumpuan pada satu perkara bukan alasan mengabaikan perkara yang lain… Inilah indahnya jika Islam difahami, dihayati dan diamalkan, kita tidak akan menghadapi dilema seperti yang dialami oleh kura-kura – dilema antara isteri dan sahabat

Tiada ulasan: